SHAHRIR (kanan) bersama Abdul Azeez (tengah) menyampaikan bantuan barangan keperluan kepada penduduk Kampung Endap.

Padawan: Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) mahu Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi mengatasi masalah banjir terutama di kawasan pedalaman.

Pengerusinya Tan Sri Shahrir Samad berkata, langkah itu penting bagi mengatasi impak negatif dihadapi penduduk kesan daripada bencana alam melanda beberapa negeri termasuk di Sarawak.

Menurutnya, untuk jangka panjang kerajaan perlu meneliti bentuk pembangunan yang boleh dilakukan bagi mengurangkan impak akibat banjir sebagaimana yang berlaku di pantai timur, baru-baru ini.

“Kita dapat saksikan apabila musibah ini berlaku, ia menyebabkan kehilangan harta benda, malah kerugian jutaan ringgit. Ia memang memberi impak besar kepada rakyat terutama mereka tinggal di luar bandar.

“Justeru, saya berharap dalam perbahasan RMK-11, Mac ini, kita akan membangkitkan masalah ini untuk diberi perhatian sewajarnya dan saya percaya rakan kita (Ahli Parlimen) pasti akan mengutarakan perkara sama dalam usaha menangani bencana alam ini,” katanya selepas menyertai Misi Bantuan Kebajikan BNBBC di Kampung Simpok, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO merangkap Presiden Kelab Putera UMNO 1Malaysia Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ahli Parlimen Mambong Datuk Seri James Dawos Mamit.

Sebelum itu, BNBBC turut menyertai misi sama di Kampung Endap, Kota Samarahan bagi meninjau keperitan dihadapi mangsa banjir di kampung terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 7:28 AM