ABD Razak (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media, semalam.

Alor Setar: Polis Kedah menahan tujuh suspek termasuk seorang wanita selepas menumpaskan kegiatan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan heroin seberat kira-kira tiga kilogram (kg) bernilai RM110,000 dalam empat serbuan berasingan di Kuala Kedah dan Langkawi, kelmarin dan semalam.

Dalam serbuan pertama kira-kira jam 11 pagi, Rabu lalu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menahan dua lelaki berusia 35 dan 45 tahun yang berasal dari Pulau Pinang memandu kereta Toyota Vios.

Ketua JSJN Kedah Superintendan Abd Razak Md Zin berkata, pemeriksaan lanjut menemui lima peket syabu seberat 407 gram dan heroin seberat 2.3 kg bernilai RM79,000 dalam kereta berkenaan ketika serbuan di Kuala Kedah, dekat sini.

Katanya, seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah dan mereka dipercayai ingin membekalkan dadah terbabit bagi pasaran di bandar raya ini dan Sungai Petani.

“Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM2,005 yang dipercayai diperoleh hasil jual beli dadah dengan kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis ini.

“Dalam serbuan kedua pula, kami menahan seorang lelaki berusia 32 tahun selepas menemui 250 gram dadah jenis syabu bernilai RM27,500 yang disembunyikan dalam beg sandangnya di Kompleks Jeti Feri Kuah, Langkawi, jam 9 pagi, Khamis lalu.

“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan ditahan reman sehingga Rabu ini,” katanya pada sidang media di IPK Kedah, di sini, semalam.

Abd Razak berkata, susulan tertangkapnya lelaki itu, polis menyerbu sebuah rumah di Kedawang, Langkawi sebelum menahan tiga suspek berusia antara 20 hingga 33 tahun termasuk seorang perempuan.

“Siasatan menemui 72.6 gram heroin dan 0.5 gram syabu dalam rumah berkenaan. Semua suspek ditahan reman sehingga Khamis ini,” katanya.

Menurutnya, bagi serbuan keempat, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun yang mempunyai satu rekod jenayah membabitkan dadah kerana memiliki 100 gram heroin dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Nilam, Kuah, Langkawi pada jam 1 pagi, Jumaat lalu.

“Suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini. Semua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 7:15 AM