MANGSA maut selepas bertembung dengan sebuah Perodua Kembara.

Rantau Panjang: Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan dua kenderaan di Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang berhampiran persimpangan Batu Karang dekat Kampung Gual Mesa, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa Muhammad Hafizan Zamri, 22, berasal dari Kampung Tasik Bendang Guchil, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan kaki kanan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang jam 9 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 secara bersendirian dipercayai dari arah Pasir Mas sebelum terbabit kemalangan berkenaan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Akibatnya, mangsa terlanggar kereta jenis Proton Wira diikuti sebuah lagi kenderaan Perodua Kembara,” katanya.

Katanya, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, pemandu kenderaan Perodua Kembara Sarvila Sulaiman, 28, berkata dia dalam perjalanan pulang dari membeli-belah di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang ke rumahnya di Tumpat sempat menekan brek sebaik melihat motosikal mangsa yang hilang kawalan sebelum memasuki laluannya.

Katanya, dalam sekelip mata dia ternampak motosikal itu bergesel dengan kenderaan di hadapannya.

“Saya cuba mengelak, namun gagal sebelum mangsa tercampak ke belakang kenderaan saya, manakala motosikal itu terperosok ke bawah kenderaan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 9:16 AM