Kuala Lumpur: “Bagi saya, apa yang terbaik untuknya adalah menjalani terapi di pusat pemulihan, bukannya di penjara kerana pendekatan rawatan di dua tempat ini berbeza.

“Bagaimanapun, tetap perlu ada pengorbanan. Selama setahun saya di sana (pusat pemulihan), saya hindarkan diri daripada Internet, televisyen, malah rakan kerana mahu fokus berubah jadi saya yakin dia juga mampu lakukannya.”

Demikian kata Muhammad Radhi Razali atau lebih dikenali sebagai Radhi OAG, 38, ketika ditanya mengenai kes dadah membabitkan penyanyi utama kumpulan Slam.

Pernah terbabit dengan dadah hampir 15 tahun sebelum menjalani rawatan di Rumah Pengasih pada 2011, Radhi menyifatkan Zamani sebagai rakan yang baik cuma pembabitannya dengan dadah mencemarkan imej bersihnya.

“Saya pernah berada dalam situasinya. Memang sukar apa lagi kita dikenali umum, tetapi itu menunjukkan Allah masih sayang pada kita kerana beri peluang untuk berubah.

“Apa yang penting sekarang, kita sama-sama doakan yang terbaik untuk dia berubah. Jangan pula beri komen negatif kerana dalam situasinya sekarang, dia perlukan sokongan positif daripada kita,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 9:12 AM