TENGKU Adnan bersalaman dengan wakil penduduk pada Sesi ‘Town Hall’ Parlimen Titiwangsa, semalam.

Kuala Lumpur: Semua lawatan kerja ke luar negara membabitkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi di bawahnya dibekukan kecuali terdapat keperluan tertentu sebagai langkah penjimatan demi memastikan strategi rasionalisasi perbelanjaan kerajaan dapat dilaksanakan.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, arahan terbabit sudah dikeluarkan minggu lalu dan ia juga terpakai kepada semua pihak terbabit dengan kementerian secara langsung.

“Namun, pembekuan itu dalam jumlah yang sedikit dan disebabkan ekonomi semasa, kita juga mengarahkan supaya lawatan kerja ke luar negara dikurangkan.

“Arahan ini dikeluarkan minggu lalu dan ia terpakai kepada semua pihak yang terbabit dengan kementerian,” katanya selepas menghadiri Sesi ‘Town Hall’ Parlimen Titiwangsa, di Stadium Titiwangsa, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Ikhsan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Perutusan Khas Mengenai Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara yang dibentangkan minggu lalu berkata, perbelanjaan mengurus dijangka dikurangkan RM5.5 bilion dengan mengutamakan perbelanjaan yang diperlukan saja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 9:06 AM