Kuantan: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang akan memperkenalkan lebih banyak kempen beli barangan tempatan tahun ini dalam usaha mengajak rakyat negeri ini menggunakan barangan tempatan.

Pengarahnya Sharuddin Jali berkata, kempen sama yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini sudah menunjukkan perkembangan positif dan ramai rakyat tempatan memilih untuk membeli dan menggunakan barangan keluaran tempatan.

“Secara umumnya, sudah banyak kempen diperkenalkan kerajaan bagi mengajak rakyat negara ini membeli barangan keluaran tempatan.

“Keberkesanan kempen itu juga boleh dikatakan agak memuaskan dan saya percaya kerajaan akan memperkenalkan beberapa lagi siri kempen tahun ini.

“Selain kempen melalui jualan murah, jualan awal dan akhir tahun serta jualan murah setiap kali musim perayaan, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga memperkenalkan Peraduan Jom Selfie! Produk Malaysia yang dilancarkan 2 Disember lalu.

“Ini semua adalah antara usaha yang sudah dilaksanakan dan sudah pasti ia akan diteruskan dan ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan Perutusan Khas Mengenai Ekonomi dan Kewangan negara, Selasa lalu.

Antaranya yang diberi perhatian ialah mempergiatkan promosi pembelian barangan buatan Malaysia dan merancakkan sektor pelancongan domestik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:32 AM