LOKASI kejadian lelaki jatuh dari tingkat sembilan di Taman Tampoi Indah.
ANGGOTA polis mengusung mayat mangsa, semalam.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein dan Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang lelaki lingkungan 20-an maut dipercayai selepas terjatuh dari tingkat sembilan Blok A, Apartmen Sri Wangi Taman Tampoi Indah, di sini, kira-kira 1 petang semalam.

Menurut saksi kejadian yang enggan dikenali, sebelum insiden dia melihat sebuah teksi berhenti di blok itu dipercayai dinaiki lelak itu bersama seorang lelaki lain dalam lingkungan 20-an.

Katanya, tidak lama kemudian, dia melihat seolah-olah mangsa ingin keluar melalui tingkap rumah dan sebaik berpaling ke arah lain, dia terdengar jeritan dan terkejut apabila melihat lelaki itu terjatuh.

“Ketika itu saya berada di tingkap rumah sebelum terdengar jeritan dan sebaik menoleh, saya melihat mangsa sudah terjatuh.

“Saya menjerit meminta tolong tetapi tiada sesiapa di kawasan berkenaan dan bergegas turun untuk melihat keadaan lelaki itu.

“Saya kemudian ke pondok pengawal untuk meminta bantuan dan diberitahu seorang lelaki berlumuran darah di pakaian tergesa-gesa keluar dari kawasan apartmen itu,” katanya ketika ditemui di apartmen berkenaan, semalam.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan di situ mendakwa, melihat seorang lelaki berlumuran darah di pakaiannya keluar tergesa-gesa dari kawasan apartmen itu, tetapi tidak mengesyaki sesuatu.

“Ada seorang lelaki yang memakai baju berwarna kelabu dan ada kesan darah di pakaiannya keluar sekitar waktu tengah hari dan saya tidak menahannya kerana menyangkakan lelaki berfizikal rendah itu mabuk.

“Di kawasan apartmen ini memang selalu ada orang mabuk dan menjerit, tetapi pada waktu kejadian saya terdengar ramai orang menjerit mengatakan ada orang jatuh sebelum bergegas melakukan pemeriksaan.

“Saya dapati lelaki terbabit sudah tidak bernyawa selain ada kesan darah di pakaian serta kecederaan pada anggota badan sebelum menghubungi polis,” katanya.

Sepasukan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Anjing Pengesan (K9) dipanggil untuk ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Khamsani Abdul Rahman mengesahkan kes kematian terbabit dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 10:08 AM