Nik Mohamad Abduh (tengah) keluar dari wad selepas menziarahi bapanya di Hospital HUSM, Kubang Kerian.

Kota Bharu: Kesihatan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin baik apabila menunjukkan tanda positif berbanding sebelum ini.

Anaknya, Nik Mohamad Abduh berkata, bapanya yang menghidap kanser prostat tahap empat menunjukkan perubahan lebih baik apabila mula menikmati nasi air (bubur nasi).

Katanya, Nik Abdul Aziz juga sudah mampu bercakap dan mengenali orang yang melawatnya.

“Alhamdulillah, perkembangan ayah semakin baik. Pernafasan dan tekanan darah dalam keadaan baik.

“Jika keadaan bertambah baik, doktor mungkin membuka bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media selepas melawat bapanya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini, semalam.

Nik Mohamad Abduh bagaimanapun berkata, pelawat hanya dibenarkan melihat melalui luar bilik kerana bimbang jangkitan.

“Semalam (kelmarin) pelawat sangat ramai sehingga memberi kesan batuk kepada ayahnya,” katanya.

Sementara itu, Nik Mohamad Abduh menafikan dakwaan terdapat ketulan darah beku di otak Nik Abdul Aziz menjadi punca dia dimasukkan ke dalam ICU.

“Tiada ketulan darah dalam kepala ayah dan ia adalah kesan daripada kanser dihidapinya sejak empat hingga lima tahun lalu.

“Sebelum ini ayah menjalani rawatan kimoterapi, namun sejak setahun ini doktor memberi ubat khas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 9:14 AM