Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

Shah Alam: Pelakon terkenal Rita Rudaini menganggap tuntutan nafkah RM1,500 sebulan untuk perbelanjaan makanan yang dituntut terhadap bekas suaminya pemain bola sepak kebangsaan Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 27, tidak melampau.

Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 38, berkata, tuntutan nafkah itu meliputi sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam yang berjumlah RM50 sehari.

Menurut Rita, tuntutan itu dibuatnya bagi tempoh ditinggalkan bekas suami pada Januari 2012 hingga disahkan bercerai pada Ogos 2013.

“Tuntutan nafkah makanan ini munasabah kerana saya memasak di rumah dan ada kalanya saya makan di luar. Jumlah itu juga perbelanjaan yang saya gunakan untuk membeli barangan keperluan untuk dimasak.

“Perbelanjaan makan minum ini berdasarkan kepada jumlah minima RM50 sehari yang dibelanjakan saya, meliputi sarapan RM10, makan tengah hari RM15, minum petang RM10 dan juga makan malam RM15,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan balas peguam syarie Rushdan Sujak Rafie yang mewakili Mohamad Aidil dalam prosiding perbicaraan tuntutan tunggakan nafkahnya di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.

Pelakon itu diwakili peguam syarie Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain membuat tuntutan tunggakan nafkah RM102,000 terhadap bekas suaminya sejak Mohamad Aidil meninggalkan rumah kediaman mereka di Kota Damansara pada Januari 2012.

Dalam tuntutannya juga, Rita menuntut bayaran bil utiliti RM600 sebulan yang merangkumi bil elektrik, air dan Astro.

Menurutnya, beliau menanggung bil utiliti berkenaan sejak diabaikan bekas suaminya itu dan pendapatan defendan sebagai pemain bola sepak profesional mampu untuk menanggung semua tuntutannya.

“Sebagai pemain bola sepak profesional, defendan diyakini mampu membayar semua tuntutan dibuat dan berdasarkan keperluan asas setiap bulan yang diketahuinya ketika masih bersama.

“Defendan mampu memiliki kereta mewah seperti Mercedes CL S350 dan motosikal berkuasa tinggi Ducati Monster dan ia diakui defenden ketika tuntutan nafkah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya sebelum ini,” katanya.

Hakim Syarie Mawardi Che Man menangguhkan perbicaraan dan menetapkan tarikh 27 Januari depan sebagai tarikh untuk sambungan semula perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 7:55 AM