Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: “Anak saya beberapa kali merayu dan memberitahu ‘aku tak mahu mati’ ketika sedang bergelut dengan suspek,” kata bapa seorang kakitangan wanita Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM).

Bapa mangsa yang enggan dikenali mendakwa, anaknya berbuat demikian dengan harapan suspek berhenti daripada terus memukulnya selain menawarkan barangan berharga supaya dapat melepaskan diri.

Dalam kejadian jam 7 malam, Jumaat lalu, mangsa luka teruk di hidung, kepala dan muka akibat diserang dengan sebatang spanar oleh seorang juruteknik selenggara di bangunan berkenaan.

Suspek yang berusia 30-an sudah diberkas polis, manakala mangsa berusia 30 tahun berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan lanjut di hospital.

Bapa mangsa mendakwa, sebaik anaknya berjaya keluar dari pejabatnya, dia terus memasuki lif untuk turun ke bawah.

“Suspek terus turun menggunakan tangga ke tingkat 21 serta mahu menahan lif digunakan anak saya.

“Namun, dia tidak sempat berbuat demikian apabila anak saya berjaya turun ke bawah dan menyelamatkan diri dengan pergi ke kafeteria bangunan dan dibantu orang awam disitu,” katanya.

“Suspek kemudian sempat berada di situ dan berpura-pura tidak tahu. Suspek bertanya ‘kenapa ni?’ seperti mahu mengambil berat.

“Namun, helah suspek tidak menjadi apabila terdapat kesan darah pada bajunya dan cermin mata. Suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya,” katanya.

Kelmarin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan khas membabitkan seluruh kakitangan di bangunan kementeriannya bagi memastikan jaminan keselamatan lebih kukuh pada masa depan.

Ahmad Shabery berkata demikian selepas melawat mangsa terbabit di Hospital Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 7:54 AM