Putrajaya: Seorang kakitangan wanita Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang cedera teruk di muka akibat diserang lelaki dengan spanar di pejabatnya di sini kelmarin berdepan trauma teruk serta masih dirawat di hospital.

Perkara itu disahkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang berkesempatan menziarahi mangsa di Hospital Putrajaya, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam kelmarin itu, mangsa luka teruk di hidung, kepala dan muka akibat diserang dengan sebatang spanar oleh seorang juruteknik selenggara di bangunan berkenaan.

Bagaimanapun, suspek berusia 30-an itu sudah ditahan polis manakala mangsa pula kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan lanjut di hospital berkenaan.

Ahmad Shabery ketika ditemui berkata, mangsa yang berusia 30 tahun dan bertugas di Jabatan Penasihat Undang-undang kementerian itu berdepan trauma teruk sehingga takut berdepan dengan individu tidak dikenali selain sukar untuk tidur.

Menurutnya, pihak hospital mengesahkan mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami kecederaan dalaman terutama di kepala dan muka selepas ujian x-ray dilakukan.

“Kami juga akan meminta pihak hospital memberi sokongan dan rawatan psikologi kepada mangsa termasuk rawatan bagi memulihkan emosi serta menghilangkan rasa traumanya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, beliau juga akan mengadakan perjumpaan khas membabitkan seluruh kakitangan yang bertugas di bangunan kementeriannya bagi memastikan jaminan keselamatan lebih kukuh pada masa depan.

Menurutnya, keganasan seperti dialami mangsa bukan jenayah biasa kerana ia berlaku di pejabat di mana ia dianggap tempat paling selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:12 AM