Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang penjenayah dikesan melarikan kereta mewah model Lexus milik anak seorang timbalan menteri sebelum kenderaan disorokkan berhampiran kolej kesihatan.

Difahamkan kereta itu dilarikan penjenayah kelmarin di sekitar kawasan Setapak sebelum mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Setapak di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya melakukan siasatan sebelum mendapat maklumat kereta itu dilihat melalui Lebuhraya Shah Alam (KESAS) menuju Petaling Jaya.

Menurutnya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menemui kereta itu diletakkan di hadapan sebuah restoran makanan segera di Petaling Jaya pada jam 3.30 petang semalam.

“Apabila anggota polis cuba mendekati kereta itu, suspek memecut kenderaan menuju ke arah Kampung Jawa, Klang.

“Suspek akhirnya memberhentikan kereta di kawasan meletak kenderaan di sebuah kolej kesihatan di Seksyen 26, Shah Alam. Dia kemudian melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan itu,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, beberapa saksi mendakwa melihat suspek lelaki tempatan meninggalkan kereta itu dalam keadaan tergesa-gesa.

“Kami sudah mendapatkan lakaran wajah suspek dan ia akan diedarkan kepada umum dalam tempoh masa terdekat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:22 AM