DUA anggota penguat kuasa kastam memeriksa rokok seludup yang dirampas daripada sebuah kedai runcit di Skudai, Johor Bahru.
Oleh Mohamad Fard Rahmat dan Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Pelbagai helah digunakan peruncit bagi menyembunyikan rokok seludup dalam premis mereka sebelum menjualnya kepada pelanggan.

Namun, tindakan mereka itu sia-sia berikutan penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sudah mengetahui taktik itu dengan melakukan intipan dan penyamaran sebelum serbuan dijalankan.

Ini terbukti dalam serbuan Selasa lalu di sebuah kedai runcit di Jalan Long Yunus, di sini, yang pernah diserbu sebanyak dua kali sebelum ini, namun pemiliknya iaitu seorang wanita berusia 40-an tidak serik, malah terus menjual rokok berkenaan.

Kali ini, dia menyorokkan rokok itu berhampiran susunan pasu bunga di luar kedai.

Bagaimanapun, taktik itu tidak berjaya apabila penguat kuasa JKDM berjaya merampas 16 karton rokok pelbagai jenama termasuk John, Premium, Nusantara, Gudang Garam, Astro dan Manchester.

Dalam serbuan pada hari sama di Johor Bahru pula, seorang pekerja lelaki warga Indonesia sebuah kedai runcit di sekitar Taman Universiti Skudai bertindak menyembunyikan rokok seludup dalam timbunan pakaian pula.

Taktik berkenaan juga gagal apabila anggota penguat kuasa JKDM menemui tujuh karton rokok seludup di bawah timbunan pakaian berkenaan.

Selain itu, sepanjang operasi dua hari lalu juga di ibu kota, Kuala Terengganu, Terengganu dan Kuantan, Pahang, tiga lagi peruncit ditahan kerana menjual rokok seludup.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kangar, Perlis pada 29 Disember lalu, seorang peruncit berusia 67 tahun didenda RM3,290 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda itu manakala Proton Pesona miliknya disita kerana didapati digunakan dalam kegiatan rokok seludup.

Lelaki terbabit didakwa atas dua kesalahan iaitu pertama memiliki 40 batang rokok John hitam dan 53 batang keretek Gudang Garam bernilai RM9.74, manakala bagi kesalahan kedua pula memiliki 1,400 batang rokok John hitam dan 444 batang keretek Gudang Garam bernilai RM161.50.

Sepanjang Ops Out dilancarkan JKDM tahun lalu, sebanyak 39,000 kedai diserbu dan diperiksa di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sejumlah 8,500 premis didapati menjual rokok seludup.

Seramai 6,000 peruncit pula ditahan untuk siasatan lanjut dan daripada jumlah itu, 720 peniaga didakwa di mahkamah.

Setakat ini, dianggarkan rokok seludup bernilai RM80 juta dirampas sepanjang operasi berkenaan.

Memiliki rokok seludup adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun dan didenda 20 kali nilai rampasan atau kedua-duanya sekali.

Melalui operasi itu juga, mana-mana peniaga atau individu yang didapati menjual, menyimpan atau memiliki rokok seludup, JKDM boleh menahan mereka untuk siasatan lanjut sebelum proses pendakwaan di mahkamah dilakukan. Malah, jika ada kenderaan digunakan dalam proses menjual atau menyeludup rokok itu, ia boleh dirampas atau disita sebagai bahan bukti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 7:48 AM