ANGGOTA JPAM memeriksa keadaan motosikal yang dirempuh.
Oleh Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

Melaka: “Dia (mangsa) kerap meluahkan kerisauan terhadap nasib keluarganya jika dia mati. Tidak sangka dia maut dilanggar kereta malam tadi (kelmarin),” kata S Ganesan, 54, berhubung tragedi menimpa sepupunya, K Guna Seharan, 48.

Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, mangsa yang menunggang motosikal bersama anak lelakinya dirempuh kereta di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Umbai di sini, malam kelmarin.

Difahamkan mangsa yang baru selesai bekerja membaiki lori di kilang di Merlimau, di sini, dalam perjalanan pulang ke rumah.

Ganesan berkata, mangsa sering membawa anak lelaki berusia 19 tahun ke tempat kerja kerana mempunyai minat sama dalam bidang mekanik.

“Siapa sangka perkara buruk menimpa mereka. Saya simpati berikutan keluarga mereka susah dan isteri mangsa tidak bekerja,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka (HM), di sini, semalam.

Sementara itu, sumber berkata, mangsa dipercayai melambung ke atas bumbung kereta sejurus dirempuh dari belakang.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 8:04 AM