Oleh Asmah Rusman
asmah_rusman@hmetro.com.my


Kajang: Tindakan suspek yang menyamun asrama pekerja di Bandar Mahkota Cheras tampil membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Long, dekat sini menjerat diri apabila dia terserempak dengan mangsa yang turut membuat laporan berhubung kejadian itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, susulan itu, polis menahan suspek sebelum menyerbu sebuah rumah dan menahan dua lagi rakan sejenayahnya sejam selepas kejadian samun itu yang berlaku jam 3.25 pagi, kelmarin.

Ab Rashid berkata, suspek dikatakan berdendam dengan lelaki warga Myanmar itu selepas mangsa dikatakan mengejeknya ketika melintas jalan raya beberapa hari lalu.

“Akibat perselisihan faham itu, suspek mengajak dua rakannya menjejaki mangsa sebelum memukul dan menyamun lelaki berkenaan termasuk lima rakan mangsa yang tinggal di dalam asrama berkenaan.

“Suspek pergi ke balai polis untuk membuat laporan dipercayai sebagai langkah menutup kesalahan yang dilakukan, tetapi malangnya mangsa yang datang bersama majikannya terserempak dan mengenali wajah suspek,” katanya.

Katanya, dalam kejadian terbabit selain suspek dan dua rakannya, satu kumpulan lelaki lain turut memukul mangsa kerana menyangka mangsa menimbulkan pergaduhan berkenaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan ketiga-tiga lelaki berkenaan yang berusia 20-an ditahan untuk membantu siasatan polis,” katanya.

Menurut Ab Rashid, antara barangan yang disamun suspek adalah wang tunai RM1,000, dua beg tangan wanita dan enam telefon bimbit pelbagai model.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 6:41 AM