Jakarta: Kementerian Pengangkutan Indonesia semalam bertindak menggantung 61 penerbangan yang didapati tidak mempunyai permit sah untuk terbang dari negara itu.

Memetik laporan portal Straitstimes.com milik Singapura, Menteri Pengangkutan Ignasius Jonan berkata, penggantungan itu membabitkan lima syarikat penerbangan.

“Hasil siasatan mendapati, Garuda Indonesia melanggar empat syarat, Lion Air (35), Wings Air (18), Trans Nusa (1) dan Susi Air (3).

“Mereka melakukan pelanggaran permit dan tidak mempunyai permit penerbangan (untuk 61 laluan). Ia pelanggaran yang sama seperti syarikat penerbangan AirAsia,” kata Ignasius pada satu sidang akhbar, semalam.

Sebelum ini, keputusan untuk mengkaji semula permit penerbangan dilakukan susulan tragedi menimpa penerbangan AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas di Selat Karimata ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura mengorbankan 162 nyawa.

AirAsia Indonesia kemudiannya didapati melanggar syarat penerbangan dengan terbang pada Ahad tanpa permit sah daripada kerajaan republik itu.

Ignatius berkata, kementeriannya menggantung 11 pegawai kerana cuai dan mengaudit lima lapangan terbang di negara ini sejak kemalangan membabitkan pesawat QZ8501 hujung tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:11 AM