ANGGOTA bomba melakukan operasi menyelamat bagi mengesan Mohamad Solehin di Sungai Beruas.
Oleh Norsharuddin Sapian
am@hmetro.com.my

Beruas: “Sebaik tiba di tepi sungai, tergerak hati memeriksa di bawah rimbunan pokok buluh dan semak samun sebelum terpandang objek putih tenggelam timbul dalam sungai itu,” kata Mohamad Solehin Samad, 23.

Mohamad antara yang terawal menjumpai mayat seorang kanak-kanak Muhammad Aqed Dariz Haraf Gilbert berusia setahun 6 bulan yang ditemui mati dikhuatiri akibat lemas di Sungai Beruas, 50 meter dari rumah neneknya di Batu 36, Kampung Pulau Kabung, di sini.

Menurut Mohamad, dia yang menyertai kumpulan penduduk kampung serta anggota keselamatan dalam operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak jam 4 petang kelmarin itu, memberanikan diri menarik mangsa dari Sungai Beruas.

“Saya beranikan diri turun ke dalam sungai dan melihat kaki mangsa sebelum menarik objek itu dari dasar sungai.

“Saya membawa mayat mangsa menyusuri tebing sungai sebelum diserahkan kepada Bilik Operasi Sementara Bomba 100 meter dari lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Seorang ahli keluarga terdekat mangsa yang enggan dikenali berkata, Muhammad Aqed yang juga anak ketiga daripada empat beradik dipercayai keluar dari rumah ketika semua ahli keluarga tidur dan ketika itu juga hujan lebat.

“Kehilangan kanak-kanak itu hanya disedari apabila ada ahli keluarga tersedar dari tidur lalu bergegas mencarinya di kawasan sekitar dan sungai berhampiran rumah kerana sebelum ini juga dia pernah hilang dan turun ke tebing sungai.

“Usaha mencarinya terus dilakukan sehingga lewat petang semalam, namun menemui jalan buntu,” katanya.

Menurutnya, mangsa juga seorang kanak-kanak yang aktif dan berani.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, kehilangan Muhammad Aqed Dariz Haraf disedari bapanya yang dikenali sebagai Gilbert jam 4 petang kelmarin, sebelum memaklumkan kepada ibu mangsa Haslinda Mat Deaa.

“Mayat mangsa ditemui tersangkut pada kayu di sungai belakang rumah pada jam 10.25 pagi tadi (semalam).

“Polis masih menyiasat punca kejadian dari semua aspek termasuk unsur jenayah. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, ibu mangsa ada memaklumkan anaknya sangat aktif dan sudah beberapa kali berpesan kepada semua ahli keluarga lain supaya lebih memerhatikan anaknya itu kerana bimbang musim hujan dan rumah mereka berdekatan dengan sungai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Amir Ahmad pula berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 5.10 petang kelmarin sebelum menjalankan gerakan mencari dan menyelamat di tempat kejadian.

Menurutnya, operasi dijalankan dengan menyusuri Sungai Beruas sehingga ke arah Pantai Remis, dekat sini.

“Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Unit Anjing Pengesan K9 (4), polis (4) dan orang awam (30) menyertai operasi itu yang berakhir 11.55 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 6:11 AM