NAJIB membaca sepintas lalu buku ‘Projek Pembangunan UTM di Bawah RMK-9’ di Majlis Perasmian Menara Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), semalam.

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mahu pakar universiti tempatan memberikan input berkaitan projek pengawalan banjir yang akan dilaksanakan kerajaan termasuk mengenal pasti punca bencana berkenaan berlaku.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak mahu bergantung kepada kepakaran luar dalam usaha membangunkan negara secara lestari.

Beliau menegaskan, negara mesti mengguna pakai kebolehan penyelidik tempatan dalam menggubal dasar berkaitan kaedah menangani malapetaka berkenaan pada masa depan.

“Dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini kami bincang soal bencana banjir dahsyat yang berlaku, jadi kami putuskan mesti tahu apa puncanya tetapi tidak mahu kepakaran sebaliknya serahkan kepada pakar kita buat kajian.

“Itu saya nak sebut universiti boleh membantu pengurusan air dengan memberi input kepada kerajaan.

“Kita mesti lakukan perubahan cara membangunkan negara serta penguatkuasaan yang tegas,” kata beliau semasa berucap merasmikan Menara Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan melancarkan Buku Projek Pembangunan UTM di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Jalan Sultan Yahya Petra di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Wahid Omar.

Menara Razak berharga RM91 juta itu dibina pada 3 Mac 2009 dan siap sepenuhnya pada September 2012.

Di bawah RMK-9, UTM Kuala Lumpur mendapat peruntukan berjumlah RM156 juta, projek pembangunan semula kampus yang menukar wajah universiti itu menjadi pusat pengajian tinggi bertaraf dunia dengan menyediakan kemudahan terbaik.

Pembinaan Menara Razak setinggi 17 tingkat antara pembangunan yang menempatkan unit pentadbiran dan sekolah baru dilengkapi kemudahan pembelajaran.

Sementara itu Najib menghargai penghormatan UTM mengabadikan nama Tun Abdul Razak sempena menghargai jasa dan perjuangan bapanya sewaktu menjadi Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran.

“Allahyarham Tun Razak mula mengenali Naib Canselor UTM yang pertama, Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid ketika Ainuddin menjemput beliau pulang dari rombongan kemerdekaan dari London pada tahun 1950-an dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 7:48 AM