Putrajaya: Umat Islam yang menghadapi kesukaran akibat banjir boleh menerima wang zakat kerana mereka boleh digolongkan sebagai asnaf ‘al-gharimin’ iaitu orang yang berhutang atau asnaf ‘fisabilillah’ iaitu golongan membelanjakan harta ke jalan Allah.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha berkata, pemberian berkenaan adalah bergantung kepada negeri masing-masing memandangkan ia bidang kuasa negeri.

“Pemberian zakat sebenarnya banyak aspek dan misalnya, jika dia betul-betul miskin, ada asnaf (layak terima zakat). Dari segi bencana banjir ini, boleh di bawah asnaf ‘fisabilillah’ dan itu mufti akan memberikan pandangan.

“Ada juga negeri meletakkan bencana ini sebagai ‘al-gharimin’ dan itu pun boleh juga. Ia bermakna ada bahagian boleh diambil dan mufti akan memberikan pandangan,” katanya media selepas majlis pelepasan Pasukan Bantuan Pasca Banjir Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU), JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah JAWI Paimuzi Yahya merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Othman berkata, keputusan pemberian zakat kepada mangsa banjir diputuskan oleh negeri bagi meletakkan mereka di bawah golongan asnaf dalam zakat.

“Wilayah Persekutuan juga membuat keputusan iaitu bagi bencana, mereka yang terbabit dikategorikan sebagai ‘al-gharimin’ malah, MAIWP pernah menyalurkan wang sebanyak RM1.5 juta bagi membantu mangsa banjir di Sabah, Pahang dan Johor tahun lalu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Othman berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan jemaah di Masjid Amaniah, Batu Caves yang dilaporkan menunaikan solat Jumaat secara berkelompok dan membuat saf di hadapan imam.

“Jika betul dia Islam, bererti ia satu penghinaan, namun jika dia baru memeluk Islam boleh dimaafkan kerana baru belajar.

“Sekiranya dia Islam sudah lama serta tahu selok belok Islam, ia satu penghinaan (tindakan membuat saf di hadapan imam),” katanya.

Sementara itu, Othman berkata, majlis pelepasan semalam ialah kali kedua dilaksanakan bertujuan memberikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri terbabit.

“Ketika misi pertama dijalankan sebelum ini, kita memberikan sumbangan seperti barangan keperluan dan makanan kepada mangsa banjir.

“Bagi misi kedua ini, kami menumpukan usaha membantu pegawai dan kakitangan dengan pembersihan rumah mereka ekoran bencana,” katanya.

Katanya, kutipan lebih RM200,000 untuk barangan hasil sumbangan orang awam termasuk warga JAKIM diagihkan bagi membantu mangsa banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 7:29 AM