Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@mediaprima.com.my

Petaling Jaya: Tiga remaja belasan tahun dikesan berlagak ala ‘mafia’ apabila menceroboh sebuah kedai serbaneka 24 jam di Bandar Sunway, di sini, sebelum mencuri tiga botol arak, 11 kotak rokok serta beberapa coklat dan aiskrim.

Dalam kejadian jam 3.45 pagi, 30 Disember lalu, tiga suspek berusia 15 hingga 17 tahun itu turut membuat kecoh dengan menendang kaunter jualan selain menyepahkan beberapa rak jualan.

Sumber polis berkata, mereka turut mengancam memukul pembantu jualan premis itu sekiranya cuba melawan sebelum ketiga-tiga mereka segera melarikan diri selepas menyamun premis berkenaan.

“Bagaimanapun, dua suspek berjaya ditahan pada jam 12.30 tengah malam 1 Januari lalu oleh dua anggota dari Balai Polis Bandar Sunway yang membuat rondaan,” katanya.

Menurutnya, dua suspek berusia 15 dan 17 tahun itu ditahan selepas berada dalam keadaan mencurigakan dan cubaan mereka melarikan diri gagal.

Sumber itu berkata, kedua-dua suspek kini sedang disiasat dan pihaknya percaya seorang lagi rakan suspek yang masih bebas mampu dikesan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 6:40 AM