Putrajaya: “Biarpun rundingan itu dilakukan dengan individu bukan Islam, saya tetap terapkan konsep dan pendekatan Islam termasuk bersikap toleransi dan sabar,” kata Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Bencana Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kolonel Mohd Sakri Hussain.

Mohd Sakri individu penting yang bertanggungjawab mengetuai misi rundingan dengan ketua kumpulan pemisah yang menguasai kawasan pesawat MH17 jatuh ditembak, Alexander Borodai di Donetsk, Ukraine pada Julai tahun lalu.

Kredibiliti Mohd Sakri dalam misi berkenaan diiktiraf kerajaan apabila beliau dinobatkan sebagai antara lapan penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1436H/2015M.

Beliau yang ditemui semalam berkata, pendekatan rundingan yang diamalkannya itu menjadi titik tolak kepada kejayaan rundingan Malaysia dengan kumpulan pemisah di Ukraine dalam tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17.

“Selain itu, tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika itu juga sesuatu yang sangat baik di mana tindakan secara ‘senyap’ dan berhikmah akhirnya membuka jalan terbaik kepada kita semua,” katanya yang turut membawa pulang wang tunai RM20,000 berserta trofi dan sijil penghargaan.

Selain Mohd Sakri, kerajaan turut mengurniakan Anugerah Perdana Maulidur Rasul kepada Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad manakala, tujuh penerima Anugerah Maulidur Rasul yang lain termasuk Ahli Jawatankuasa Syariyyah (Fatwa) Majlis Hal Ehwal Islam Perak Datuk Saleh Mad @ Ahmad; Juruacara Bahasa Arab Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Datuk Mahamud Abdul; Pensyarah Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dan Pensyarah Universiti Malaya yang juga penceramah terkenal Prof Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 7:05 AM