SULTAN Nazrin menyampaikan anugerah kepada Khairuddin.

Ipoh: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah negara Islam bukan satu matlamat dan tidak terbentuk sekadar dengan menamakannya sebagai negara Islam sebaliknya satu kaedah mewujudkan sistem pemerintahan yang menegakkan amal makruf dan menegah kemungkaran.

Baginda bertitah, ia juga satu kaedah mewujudkan suasana aman damai, rakyat saling menghormati dan bekerjasama, bersatu mempertahankan kedaulatan negara, meluhurkan perlembagaan negara serta mendaulatkan undang-undang untuk memastikan keadilan supaya negara dilimpahi rahmat keamanan, kestabilan, kemakmuran juga kesejahteraan daripada Allah SWT.

Sultan Nazrin bertitah, negara Islam dipimpin Rasulullah SAW mengutamakan keadilan yang bukan hanya dinikmati orang Islam, tetapi juga bukan Islam dan seluruh umat manusia.

“Masyarakat bukan Islam dijamin perlindungan keselamatan, kebebasan menganut agama, mengamalkan budaya masing-masing, hak melakukan pelbagai kegiatan ekonomi dan usaha pembangunan sosial menerusi Perlembagaan Madinah.

“Keadilan faktor menentukan rasa hormat dan penerimaan rakyat kepada pemimpin. Umat Islam mesti memenuhi tanggungjawab moral dan menggunakan daya intelek untuk mengemukakan cadangan serta pandangan demi kebaikan dan kesejahteraan ummah selain menegaskan kepentingan budaya syura dalam sistem pentadbiran untuk membolehkan pandangan dan pendapat disuarakan,” titah baginda pada sambutan Maulidur Rasul 1436 Hijrah Peringkat Perak, di sini, semalam.

Pada majlis itu, bekas Pengarah Pendidikan Perak Datuk Khairuddin Arshad dipilih sebagai Tokoh Keluarga Mithali manakala Pengerusi Persatuan India Muslim Perak Mohamaed Arib Aliah dipilih sebagai Tokoh Pendakwah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 7:05 AM