PETUGAS keselamatan membawa jenazah mangsa nahas di Pangkalan Bun, Indonesia.

Jakarta: Penerbangan AirAsia Indonesia QZ8501 pada hari ia terhempas dipercayai mendapat keizinan daripada pihak berwajib berikutan sekarang ini adalah musim cuti.

Seorang juruterbang dan bekas Pengarah Utama Syarikat Penerbangan Merpati Nusantara Airlines, Kapten Sardjono Jhony berkata mustahil AirAsia Indonesia berani menerbangan pesawatnya tanpa mendapat keizinan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu.

“Jika sekali pun tidak dijadualkan pada peringkat awal pasti ada kelulusan untuk penerbangan tambahan,” ujarnya yang menempelak pihak yang tidak tahu mengenai dunia penerbangan.

Dalam surat terbukanya kepada Kompas, Jhony juga berkata, dakwaan juruterbang pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 tidak mengikuti taklimat cuaca oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dianggap tidak masuk akal berikutan ia tiada di dalam prosedur.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Menteri Pengangkutan Ignasius Jonan melepaskan kemarahan di Pejabat AirAsia Tengerang kelmarin, berhubung taklimat cuaca sebelum penerbangan dan kegagalan AirAsia mendapat keizinan untuk penerbangan tambahan pada Ahad.

Jonan pada awalnya dilaporkan berang kerana syarikat penerbangan tambang murah itu gagal memberi taklimat kepada juruterbang pesawat AirAsia QZ8501 sebelum berlepas pada hari nahas.

Namun ada pula laporan yang menyebut bahawa kemarahan Jonan memuncak sebaik dimaklumkan AirAsia tidak mengambil cetakan peta cuaca disediakan BMKG sebelum penerbangan QZ8501.

Tidak kira apapun punca kemarahan Jonan, ramai berpendapat bahawa menteri itu seharusnya bersikap profesional dengan mengambil kira penjelasan dan laporan akhir punca sebenar nahas berdasarkan maklumat kotak hitam.

Jhony berkata, saat ini bukanlah waktu sesuai untuk mencari kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 6:51 AM