ANGGOTA polis memindahkan mayat ke kabin sejuk selepas bedah siasat dan proses pengecaman.

Surabaya: Tindakan segelintir ahli politik cuba menyalahkan syarikat penerbangan AirAsia Indonesia mendakwa juruterbang QZ8501 tidak merujuk peta cuaca dikeluarkan Badan Metereologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dibidas.

Juruterbang Fadjar Nugroho turut menyelar tindakan Menteri Pengangkutan Ignasius Jonan yang menyalahkan AirAsia kerana gagal merujuk peta cuaca dikeluarkan BMKG.

Dalam surat terbukanya, Fadjar berkata dia tidak nampak mengapa syarikat penerbangan Indonesia atau pesawat yang mahu terbang di wilayah republik itu perlu mengambil data cuaca daripada BMKG.

Malah, perkara berkenaan boleh dirujuk menerusi Peraturan Keselamatan Penerbangan Sipil (121) 101.

“Sebelum ini juruterbang dan syarikat penerbangan memang mengambil cetakan atau salinan laporan cuaca daripada BMKG.

“Namun, kini BMKG menyediakan portal online dan maklumat cuaca terkini di laman web mereka,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan juruterbang dan pegawai operasi penerbangan (FOO) tidak lagi pergi ke pejabat taklimat BMKG berikutan ia boleh didapati melalui online.

“Sementara dalam peraturan keselamatan digariskan, tidak pula tercatat laporan yang diambil harus dalam bentuk kertas.

“Dengan adanya kemudahan sebegini, kita boleh cetak terus laporan cuaca di Internet. Secara tidak langsung, FOO juga mempunyai lebih masa untuk taklimat dengan juruterbang,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Fadjar juga mempertikai isu taklimat yang dibangkitkan Jonan.

Katanya, taklimat penerbangan lebih kepada perbincangan antara FOO dengan juruterbang dalam menentukan bahan bakar serta urusan penerbangan lain yang diperlukan.

“Begitupun, peringatan yang berkait dengan maklumat baru (cuaca) tetap diselit ketika sesi taklimat.

“Kalaupun Jonan tidak berpuas hati dengan isu data BMKG, beliau perlu faham satu perkara. Data yang dimuat naik agensi itu adalah untuk penerbangan dan maklumat sama diedar secara global.

“Maksudnya, sekali pun kami buka laman web luar negara, isinya akan sama dengan BMKG kecuali jika tidak dikemas kini petugasnya,” katanya.

Berikutan itu, Fadjar meminta Jonan berhenti menyalahkan juruterbang dan syarikat penerbangan kerana mendapatkan maklumat cuaca dari Internet.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 6:46 AM