DR Daing (kiri) memberikan sumbangan kepada mangsa banjir.

Kuantan: Universiti Malaysia Pahang (UMP) menubuhkan satu pasukan khas melakukan kajian terperinci kejadian banjir yang sering melanda daerah ini termasuk banjir besar pada 2013.

Pasukan khas itu membabitkan beberapa pakar universiti berkenaan memulakan kajian pada pertengahan bulan ini dengan mendapat kerjasama daripada pejabat Ahli Parlimen Paya Besar.

Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim berkata, kajian itu digunakan sebagai model rujukan dan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi kerajaan berkaitan apabila siap kelak.

“Kejadian banjir ini boleh dikatakan berlaku setiap tahun, namun kita boleh kurangkan risiko atau kesannya terhadap kawasan penempatan penduduk. Oleh kerana UMP memiliki tenaga pakar, kita akan wujudkan pasukan khas bagi melakukan kajian berhubung perkara ini.

“Saya sudah maklumkan hasrat ini kepada Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail dan beliau bersetuju serta memberikan sokongan penuh usaha yang akan kami lakukan ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Misi Kesukarelawan UMP di Kampung Bukit Rangin, di sini, semalam.

Hadir sama, Abdul Manan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching Datuk Zaili Besar.

Dalam majlis itu, 130 penduduk kampung berkenaan menerima sumbangan daripada pelbagai pihak yang diselaraskan UMP.

Sementara itu, Abdul Manan berkata, kejadian banjir yang berlaku pada pertengahan Disember lalu sehingga menjejaskan sebahagian besar kampung itu dipercayai berpunca daripada masalah saliran dan longkang di kawasan itu.

“Perkara ini banyak kali saya suarakan di Parlimen dan begitu juga di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 6:13 AM