NOORUL (kiri) sejurus pembedahan membuang peluru dari kakinya.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@mediaprima.com.my

Sungai Buloh: “Saya tidak pasti cubaan bunuh ini ada kaitan dengan surat ugutan yang dihantar ke pejabat saya tiga minggu lalu,” ujar Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang ditembak satu das di kaki kanannya, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa dikatakan baru pulang dari menghadiri majlis di sebuah masjid sebelum meletakkan kereta di pekarangan rumahnya di Bukit Rahman Putra, di sini.

Dua lelaki bermotosikal tiba-tiba muncul sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri.

Noorul Ariffin berkata, dia menerima surat berbaur ugutan yang dihantar ke pejabat KOM mendesak dia melepaskan jawatan di dalam KOM.

“Saya menganggap surat ugutan diterima itu tidak serius. Malah saya mengabaikannya serta tidak membuat laporan polis.

“Surat ugutan itu juga mendesak Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim turut meletak jawatan. Saya tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan (surat ugutan) namun biarlah polis menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui wartawan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam.

Beliau ketika itu selesai menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru dari kaki kanannya.

Menceritakan pula detik kejadian, mangsa mendakwa mulanya menyangka bunyi tembakan itu adalah bunyi mercun.

“Namun saya menyedari diserang dua lelaki itu sebelum cuba masuk semula ke dalam kereta. Salah seorang pegawai polis memberitahu saya bernasib baik berikutan suspek melepaskan empat tembakan berdasarkan penemuan empat kelongsong peluru,” katanya.

Noorul Ariffin yang juga Presiden Persatuan Olahraga Amatur Johor berkata, beliau sempat menjerit kepada isteri dan anak-anaknya sebelum suspek melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 8:50 AM