ANGGOTA bomba membersihkan tumpahan minyak.

Kuala Lipis: “Saya cuba menggagahkan diri untuk menghampiri kakak bagi memintanya mengucap dua kalimah syahadah namun gagal kerana paha kanan patah sebelum saya rebah dan pengsan,” kata mangsa kemalangan Mohamad Hisyam Hassan, 25, yang parah selepas kereta Proton Saga dinaiki hilang kawalan dan terbabas sebelum bertembung dengan pacuan empat roda di Kilometer 59, Jalan Lipis-Merapoh, semalam.

Mohamad Hisyam berkata, sebelum kejadian, dia bersama arwah kakaknya Hasnida, 28, yang baru sebulan mendirikan rumah tangga dengan seorang anggota tentera dalam perjalanan ke Kuala Krai, Kelantan dari Senawang, Negeri Sembilan untuk menghantar bekalan makanan kepada keluarga.

Katanya, ketika tiba di Plaza Tol Gombak dia terpaksa bertukar pemandu dengan arwah kerana terlalu penat sebelum terlelap sepanjang perjalanan menghala ke Kuala Krai.

“Saya langsung tidak menyedari bagaimana kejadian itu boleh berlaku kerana saya terlelap...saya hanya sedar selepas dikeluarkan orang awam sebelum cuba menghampiri kakak untuk memintanya mengucap dua kalimah syahadah sebelum kakak meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, dia dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis dengan bantuan sebuah ambulans yang kebetulan melalui tempat kejadian sebelum pegawai perubatan mengesahkan paha kanannya patah akibat hentakan kuat pada pintu kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:38 AM