PAPAN elektronik menunjukkan penerbangan yang hilang.

Kuala Lumpur: Adalah menjadi satu amalan biasa buat kapten pesawat untuk mengubah haluan jika cuaca buruk berlaku ketika penerbangan.

Malah, kawasan Laut Jawa di mana pesawat Airbus A320-200 penerbangan AirAsia Indonesia QZ8501 itu hilang daripada radar hanya berkedalaman kurang 150 meter dan adalah kawasan laluan kapal yang sibuk.

Bekas Ketua Juruterbang Serantau Penerbangan Malaysia Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, kapten pesawat akan mencari haluan baru atau ‘unusual route’ untuk lari daripada kelompok awan tebal.

“Banyak pilihan ketika mengubah haluan kerana kapten akan membuat pengukuran melalui radar cuaca dalam pesawat dan kemudian akan meminta kebenaran menara kawalan trafik udara.

“Selepas itu barulah pesawat digerakkan mengikut haluan terpilih,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya yang biasa melalui laluan itu ketika berkhidmat berkata, kebiasaannya laluan akan berubah sekurang-kurangnya tiga kali jika keadaan cuaca tidak mengizinkan.

“Melihat kepada gambaran Flight Radar 24, pesawat itu memang sudah beralih arah ke sebelah kanan lebih awal sebelum pesawat itu hilang dari radar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:16 AM