ANGGOTA polis trafik melaksanakan gerakan khas mengutip saman tertunggak.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pemandu Singapura yang mempunyai saman tertunggak dari 2000 hingga 2013 kini diburu dalam operasi khas dijalankan Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Operasi besar-besaran membabitkan 200 anggota dan pegawai trafik itu dilancarkan semalam berikutan 313,661 saman belum dijelaskan pemandu republik itu.

Op Saman Tertunggak Kenderaan Warga Asing itu memfokuskan beberapa jalan di daerah ini memandangkan ia adalah laluan keluar masuk pemandu seberang tambak itu ke Malaysia.

Pegawai Turus Trafik IPK Johor Deputi Superintendan Roslan Ali berkata, operasi itu bagi mengesan dan menahan pesalah trafik tegar yang enggan atau lewat menyelesaikan saman tertunggak khususnya dalam kalangan warga asing.

“Setakat ini, kami menumpukan tiga laluan masuk ke bandaraya ini iaitu Lingkaran Kedua Tuas, kawasan rehat dan rawat (R&R) Pandan serta Kilometer 2 Jalan Tebrau berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

“Kami akan menahan mana-mana kereta warga asing terutama Singapura sebelum membuat semakan saman tertunggak.

“Mereka yang mempunyai saman tertunggak perlu menjelaskan bayaran saman serta-merta bagi mengelak tindakan undang-undang dikenakan,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi di Jalan Tebrau di sini, semalam.

Beliau berkata, operasi khas itu dijalankan selama 24 jam dalam tempoh beberapa hari dan lokasi operasi berkemungkinan berubah jika pihaknya dapat mengesan cubaan pemandu Singapura mengelak melalui laluan disasarkan.

Roslan berkata, berdasarkan rekod, antara kesalahan trafik tertinggi dilakukan pemandu warga asing adalah memandu melebihi had laju dan membuat halangan lalu lintas seperti meletakkan kenderaan bukan di tempat betul.

Awal bulan ini, polis mendedahkan saman tertunggak pemandu negara berkenaan sebanyak 313,661 atau 37.4 peratus daripada jumlah keseluruhan 838,510 saman membabitkan warga asing.

Difahamkan, pemandu Brunei mencatat jumlah kedua tertinggi saman tertunggak sepanjang tempoh sama iaitu 48,179 saman, diikuti warga Thailand (17,654), Indonesia (2,614) dan lain-lain negara sebanyak 456,402 saman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:14 AM