Chukai: Usaha mencari sepasang suami isteri dihanyutkan arus deras selepas bot yang mereka naiki terbalik dalam kejadian di Kampung Geliga Che Akob di sini, diteruskan.

Dalam kejadian jam 1 petang semalam, mangsa Suhaimi Awang dan isteri Norhayati Sulung, kedua-duanya berusia 37 tahun sebelum itu menaiki bot penyelamat bersama lima yang lain untuk ke pusat pemindahan sementara yang terletak berhampiran kampung berkenaan.

Ketua Zon 2 Bomba Terengganu Penguasa Kanan Bomba 11 Azmi Abdul Rahim berkata, seramai 11 anggota iaitu empat dari Balai Bomba Kemaman dan tujuh (Balai Bomba Chukai) meneruskan usaha mencari sejak kedua-dua mereka dilaporkan hilang.

“Sehingga jam 6.30 petang, belum ada lagi petunjuk kedua-dua mangsa ditemui dan kami khuatir mereka hanyut di Sungai Kemaman.

“Kami kini menumpukan usaha mencari kedua-dua mangsa di lokasi Jambatan Geliga hingga Kuala Kemaman,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian, semalam.

Norhayati yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga Baru di sini, dan Suhaimi bersama tiga penduduk serta tiga anggota penyelamat terjatuh ke dalam air apabila bot yang mereka naiki terbalik.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, bot terbabit terperangkap di tengah pusaran air sebelum terbalik.

“Kedua-dua mangsa yang terjatuh ke dalam air hanyut dibawa arus deras manakala penumpang lain diselamatkan anggota bomba.

“Usaha mencari kedua-dua mangsa masih diteruskan oleh anggota bomba, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:05 AM