PEGAWAI SPAD merampas barang dan kereta persendirian.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Lima pemilik kenderaan persendirian diburu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) selepas dikenal pasti terbabit dalam kegiatan teksi sapu kelas mewah menggunakan aplikasi telefon pintar Uber.

Dalam Operasi Revus Tegas yang dijalankan pada jam 10 pagi di daerah ini, semalam, beberapa anggota penguatkuasa SPAD yang menyamar sebagai penumpang mengesan dan menahan lima kereta persendirian yang membawa penumpang dari Legoland, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) dan Pelabuhan Pasir Gudang.

Lima kenderaan itu ialah dua kereta Toyota Camry selain masing-masing satu Nissan Sylphy, Kia Optima dan Nissan Sentra dipandu lima lelaki berusia dalam lingkungan 23 hingga 28 tahun yang mendakwa hanya ditugaskan mengambil dan membawa penumpang.

Kelima-lima lelaki itu ditahan bagi diambil keterangan sebelum dibebaskan manakala lima kereta itu dibawa ke Balai Polis Bandar Dato’ Onn, di sini, untuk disita dan siasatan lanjut.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 16 (5) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana mengendalikan kenderaan sebagai pengangkutan awam tanpa lesen sah yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum setahun.

Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan SPAD Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi di daerah ini adalah siri kedua selepas Kuala Lumpur pada Oktober lalu menjadikan jumlah tangkapan dan sitaan 18 kes membabitkan penggunaan aplikasi Uber.

“Risikan dijalankanselepas menerima maklumat orang awam di Johor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 9:38 AM