Oleh Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Putrajaya: Pencapaian 452,745 calon yang mengambil Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini tidak boleh dibandingkan dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum ini sebaliknya perlu dijadikan penanda aras untuk melahirkan lebih ramai murid menguasai kemahiran berfikir aras tinggi dan berfikir di luar kotak sebagai persediaan asas ke peringkat pengajian lebih tinggi.

Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Dasar dan Perkembangan, Lembaga Peperiksaan (LP) Norzila Mohd Yusof berkata, kedua-dua penilaian itu menggunakan format peperiksaan dan cara pengendalian yang berlainan, tambahan lagi PT3 baru saja dilaksanakan tahun ini.

“Apabila bercakap mengenai keputusan PT3, kita tidak boleh membuat perbandingan PT3 2014 dengan peperiksaan pusat peringkat menengah rendah (PMR) sebelum ini.

“Format instrumen pentaksiran dan pengendalian kedua-dua peperiksaan adalah berbeza. Malahan kaedah penetapan gred juga berbeza kerana bagi PMR, kaedah penentuan standard digunakan iaitu dengan mengambilkira rujukan norma , trenda pencapaian tahun-tahun lepas dan kriteria penggubalan dan penskoran instrumen.

“Tetapi untuk PT3 pula LP menggunakan pendekatan penetapan standard untuk penentuan

gred iaitu berdasarkan kriteria yang sudah ditetapkan semasa penggubalan kertas soalan oleh Lembaga

Peperiksaan, maksudnya bergantung sepenuhnya kepada keupayaan murid menguasai perkara yang diukur.

Pendekatan ini sebenarnya adalah sejajar dengan objektif mata pelajaran yang mahukan murid menguasai skop tertentu mengikut tahap penguasaan mereka.

“Jadi PT3 2014 ini kita kena anggap sebagai penanda aras data yang kita tidak boleh buat sebarang perbandingan dari aspek terdapat peningkatan atau penurunan sebab kita tidak membuat sebarang perbandingan, tetapi itulah tahap penguasaan murid selepas mereka belajar tiga tahun di peringkat menengah rendah,”katanya.

Menurut Norzila, PT3 yang juga sebahagian daripada komponen akademik dalam pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) menggunakan kepelbagaian jenis intrumen yang lebih mencabar kerana mahu melihat penguasaan murid melalui pelbagai kaedah tugasan dan persembahan item.

“Apabila LP membina kertas peperiksaan, LP masih mengukur perkara daripada tingkatan satu hingga tiga seperti skop PMR, tetapi pada masa yang sama LP juga melihat perkembangan pembelajaran, penguasaan dan keupayaan intelek mereka.

“Malah, elemen yang mengukur kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) sudah diserapkan dalam tugasan PT3 bertujuan mentaksir kemahiran kognitif seperti menganalisis, menilai, mencipta dan kemahiran mengaplikasikan pengetahuan kepada situasi harian.

“Antara ciri item KBAT, kita berikan mereka stimulus iaitu rangsangan untuk mereka membuat tugasan di mana stimulus itu membolehkan menjana fikiran mereka, kemudian kita uji tahap aras kognitif pengetahuan selain memberi situasi sebenar dalam kehidupan harian mereka.

“Tujuan utama kita mahu murid itu berfikir bagaimana hendak selesaikan sesuatu masalah apabila timbul berdasarkan pengetahuan yang diperoleh di sekolah,”katanya.

Menurutnya, peranan PT3 adalah sebahagian daripada pemacu arah pendidikan menengah rendah selaras dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Kita sudah menyahut seruan itu apabila berjaya meletakkan item KBAT sebanyak 40 peratus dalam instrumen PT3 untuk melahirkan murid yang mampu menjana pemikiran.

“Selaras dengan hasrat PPPM yang mahu melahirkan murid holistik, kita tidak melihat pencapaian akademik melalui pentaksiran pusat dan pentaksiran sekolah (PS) semata-mata sebaliknya turut mengambilkira pelaporan ujian psikometrik (kecenderungan dan minat) serta pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum (PAJSK).

“Menerusi satu laporan komprehensif berdasarkan empat komponen PBS ini, barulah kita boleh nampak tahap kemenjadian dan sejauh mana kekuatan murid itu selain boleh membantu mengembangkan pembelajaran mereka,”katanya.

Katanya, elemen KBAT juga dimasukkan dalam semua kertas peperiksaan termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diukur mengikut kesesuaian tahap pemikiran usia murid berkenaan.

“Langkah ini menunjukkan ada kesinambungan dan ia tidak terhenti untuk PT3 saja, contohnya item KBAT PT3 disesuaikan dengan peringkat umur murid berusia 15 tahun, UPSR untuk 12 tahun dan SPM sesuai dengan pemikiran murid 17 tahun.

“Sebenarnya dengan pendekatan PBS sekarang, misalnya keputusan PT3 yang disertakan dengan pelaporan PS, PAJSK serta pentaksiran psikometrik ini memberikan maklumat komprehensif dan gambaran murid yang holistik untuk peralihan ke tingkatan empat serta kemasukan ke sekolah seperti berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), teknik dan vokasional.

“Jadi akhirnya kita bukan saja dapat murid yang tinggi pencapaian akademik, malah lebih holistik dengan erti kata lain melahirkan modal insan cemerlang dalam semua aspek berdasarkan minat mereka,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 9:20 AM