MOHD Yusoff menunjukkan gambar suspek yang diburu.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Sepang: Tindakan seorang lelaki dipercayai ‘tonto’ menghimpit dan melanggar kereta Proton Waja dinaiki pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Dengkil-Puchong menghala ke lebuh raya Lembah Klang Selatan (SKVE) Putra Perdana, di sini, mengundang padah apabila dia kini menjadi buruan pihak polis.

Lelaki terbabit, Ang Gee Thiam atau dikenali sebagai Ah Thiam berusia 24 tahun dipercayai berasal dari Banting, Selangor suspek utama dalam kes berlaku jam 11.40 pagi 16 Disember lalu.

Difahamkan, ketiga-tiga pegawai JPJ terbabit baru selesai menjalankan operasi terhadap lori membawa muatan lebih.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Mohd Yusoff Awang berkata, suspek dipercayai membawa kereta Toyota Hilux menghimpit kereta jenis Proton Waja dinaiki tiga pegawai penguat kuasa JPJ sebelum melanggar kenderaan itu.

“Selepas menghimpit dan melanggar kereta pegawai JPJ terbabit, suspek dikatakan berhenti di tepi jalan serta keluar dari Toyota Hilux dan menunjukkan isyarat mengugut kepada pegawai penguat kuasa terbabit.

“Bimbang keselamatan mereka, pegawai JPJ dianggarkan berusia antara 26 hingga 30-an tidak keluar dari kenderaan dan meneruskan perjalanan ke Ibu Pejabat Daerah Putrajaya membuat laporan,” katanya kepada pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Komputer Perjudian di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, di sini, semalam.

Mohd Yusoff berkata, hasil siasatan, polis menahan dua suspek lelaki berusia 20-an keesokan harinya jam 4 pagi di Banting, Selangor.

Katanya, polis merampas dua Toyota Hilux pada hari yang sama penahanan kedua-dua suspek terbabit.

“Hilux yang dirampas itu juga bukan kenderaan yang digunakan untuk menghimpit dan melanggar kereta Proton Waja dinaiki pegawai JPJ terbabit,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, dua suspek direman empat hari, namun dibebaskan Jumaat lalu atas jaminan polis.

Berikutan itu, beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Sepang Asisten Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim ketika berucap pada majlis itu berkata, 1,947 komputer mesin perjudian dirampas menerusi 1,126 operasi dijalankan di sekitar Sepang bermula Januari hingga November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 8:08 AM