ZUN Arif Hakim (tengah) bersama sukarelawan sebelum memulakan misi, semalam.
Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Diludah di muka, dimaki dan dipersendakan antara cabaran yang perlu dilalui 2,000 sukarelawan Mega Street Dakwah yang cuba menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat bukan Islam.

Dalam usaha mendekati masyarakat bukan Islam, gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam itu mengadakan dakwah jalanan serentak seluruh negara, semalam dengan sasaran utama menjalankan penyebaran dakwah.

Timbalan Pengarah program Zun Arif Hakim Abdul Rahman berkata, program yang diadakan kali kedua itu adalah anjuran bersama Hidayah Centre Foundation (HCF), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Multiracial Reverted Muslim (MRM), Salimah Malaysia (SALIMAH) dan Skuad Mubaligh Malaysia.

“Dakwah ini adalah salah satu usaha pendekatan dakwah yang kreatif terutamanya kepada masyarakat bukan Islam. Usaha ini sering dijalankan secara berkala oleh NGO dan kebanyakannya menunjukkan reaksi positif.

“Pendekatan ini sangat berkesan dan unik untuk golongan bukan Islam disebabkan salah faham serta persepsi negatif terhadap agama Islam.

“Ia juga boleh membuka ruang interaksi masyarakat Islam dan bukan Islam untuk mengenali agama suci ini dengan cara mudah dan santai,” katanya ketika ditemui di Padang Timur Amcorp Mall, semalam.

Beliau yang juga Pengarah Unit Program Hidayah Centre Foundation berkata, program berkenaan diadakan serentak di seluruh negara dengan anggaran 2,000 sukarelawan.

“Seramai 2,000 sukarelawan terbabit dan akan cuba mendekati 20,000 individu bukan Islam di sekitar Bukit Bintang, Masjid Jamek, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), pusat beli-belah Amcorp Mall dan Mid Valley.

“Sebelum ini kami turut mengadakan Mega Street Dakwah ini dan mendapati 1,800 koresponden daripada 2,800 penganut bukan Islam memberikan respons positif untuk mengenali Islam melalui kaji selidik yang dijalankan,” katanya.

Menurutnya, mereka akui cabaran yang diterima sangat besar berikutan ada individu bukan Islam yang akan bertindak agresif, tidak mahu mendengar dan mempersendakan program ini, namun ia adalah salah satu usaha dakwah dan juga pemangkin semangat kepada sukarelawan selari dengan tuntutan agama seperti mana hadis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:05 AM