Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menasihatkan orang ramai tidak panik dan keliru berhubung kenyataan dikeluarkan Persatuan Penjagaan Kesihatan sebelum ini yang mendakwa kos kesihatan meningkat lima peratus berikutan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) April tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, kenyataan itu adalah tidak betul sama sekali malah menimbulkan situasi panik dan keliru di kalangan pesakit serta pengguna.

Beliau berkata, pihaknya boleh sahkan kos perkhidmatan penjagaan kesihatan dijangka mengalami peningkatan harga antara satu hingga dua peratus saja dan bukannya lima peratus seperti didakwa.

“Buat masa ini, di bawah Akta Cukai Perkhidmatan, Cukai Perkhidmatan enam peratus dikenakan ke atas penyediaan bilik dan makanan hospital swasta dan di bawah era GST, cukai itu dimansuhkan kerana GST tidak dikenakan ke atas bilik dan makanan pesakit.

“Kebiasaannya, komponen kos bilik antara 10 peratus hingga 30 peratus daripada jumlah kos dikenakan kepada pesakit yang menginap di hospital. Penjimatan ini perlu disalurkan kepada pesakit,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Katanya, sesetengah perkhidmatan yang diperoleh hospital seperti keselamatan, tempat letak kenderaan dan perkhidmatan profesional iaitu selain daripada perkhidmatan perubatan adalah tertakluk kepada cukai perkhidmatan enam peratus.

“Justeru, bagi perkhidmatan ini kesannya adalah kos neutral,” katanya.

Khazali berkata, beberapa bekalan perubatan seperti sarung tangan, katil dan peralatan hospital tertakluk kepada cukai jualan dengan kadar 10 peratus.

“Dengan pelaksanaan GST , berlaku sedikit penjimatan kerana GST adalah pada kadar enam peratus.

“Peralatan perubatan utama bagi hospital swasta diberi pelepasan di bawah Perintah GST (Pelepasan) 2014 yang membawa kepada kesan sifar,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, 2,900 ubat disenaraikan sebagai berkadar sifar dan rundingan diadakan antara kastam, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan untuk memperluaskan liputan jenis ubatan.

Katanya, tiada GST dikenakan ke atas gaji dan imbuhan, manakala perkhidmatan kesihatan dikecualikan daripada GST.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:18 AM