AHMAD Phesal bersama hadiah bakal dimiliki pemilik akaun hartanah yang sudah menjelaskan cukai taksiran di Kuala Lumpur.
Oleh Siraj Mohd Zaini
siraj@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merekodkan RM245 juta nilai tunggakan terkumpul membabitkan 169,466 akaun pemilik hartanah yang masih gagal menjelaskan cukai taksiran sepanjang tahun ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, jumlah itu adalah besar dan memerlukan pihaknya mengambil usaha dari segi galakan membayar selain terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik hartanah yang masih ingkar menjelaskan tunggakan cukai taksiran mereka.

Menurutnya, antara usaha yang dilakukan DBKL seperti memperkenalkan rebat 10 peratus kepada pemilik yang menduduki rumah sendiri, Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesara.

Katanya, sehingga kini, kira-kira 20,000 pemohon yang layak untuk menerima insentif terbabit dan DBKL sedang mempertimbangkan beberapa lagi permohonan lain sehingga tarikh akhir pada 31 Disember ini.

“Daripada 494,557 akaun hartanah Kuala Lumpur, sejumlah 325,091 akaun sudah menjelaskan bayaran cukai taksiran mereka membabitkan nilai sebanyak RM1.02 bilion termasuk tunggakan.

“Pembayaran cukai taksiran adalah sangat penting kerana ia adalah komponen yang menyumbang 48 peratus daripada hasil DBKL,” katanya pada sidang media Cabutan Bertuah Cukai Taksiran 2014 di Ibu Pejabat DBKL, di sini, semalam.

Ahmad Phesal berkata, satu cabutan bertuah diadakan pada tahun ini bagi menghargai pembayar cukai taksiran yang sentiasa menjelaskan cukai taksiran dan sebagai usaha menggalakkan mereka yang masih belum berbuat demikian.

Katanya, DBKL sudah menyediakan laman web khas iaitu www.dbkl.gov.my/esemakancukai-v1 untuk tujuan penyemakan dan ia akan memaparkan akaun yang layak apabila pemilik memasukkan salah satu nombor iaitu nombor kad pengenalan atau nombor akaun cukai taksiran baru dan lama.

“Semakan ini boleh dibuat mulai sekarang untuk menentukan akaun-akaun yang tidak tertunggak adalah tersenarai dalam cabutan bertuah itu nanti. Bagi mereka yang mendapati akaun mereka tidak tersenarai boleh membuat semakan di talian 03-26179940 atau 03-26179941.

“Tempoh semakan boleh dibuat sehingga 31 Januari 2015 iaitu sebelum cabutan bertuah yang dijangkakan akan diadakan pada 7 Februari 2015 di Dewan Mestika, Institut Latihan DBKL, Jalan Yaakob Latif, pemilik akaun semua dijemput hadir untuk menyaksikan ia secara langsung,” katanya.

Lima hadiah utama disediakan bagi cabutan bertuah itu iaitu dua kereta Proton Suprima S dan tiga skuter Yamaha Nouvo LC, selain pelbagai hadiah lain termasuk 75 unit telefon pintar, 90 unit tablet, 20 unit televisyen dan 10 basikal mudah alih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:15 AM