ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 1876, Lebuhraya Utara-Selatan manakala gambar kecil, Arul.
Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

Jasin: Seorang pemandu lori maut selepas merempuh belakang treler di Kilometer 187, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan, di sini, malam kelmarin.

Kejadian jam 11.50 malam itu menyebabkan kelindan lori yang dikenali sebagai Savarimuthu, 38, parah akibat tersepit dalam kenderaan yang remuk teruk.

Difahamkan, ketika kejadian, lori tiga tan dipandu A Arul, 44, dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru merempuh belakang treler muatan tanah dipandu Mohd Bashar Hamid, 56, di lorong kiri.

Mohd Bashar berkata, dia yang memandu perlahan di kawasan berbukit itu berasakan belakang treler berganjak ke hadapan seolah-olah dilanggar sesuatu.

“Treler seperti ditolak sebelum saya nampak sebuah lori terseret di belakang menyebabkan saya berhenti di lorong kecemasan.

“Saya memeriksa dan mendapati pemandu serta kelindan lori itu tersepit,” katanya di tempat kejadian di sini, semalam.

Menurutnya, dia cuba menenangkan kelindan lori yang merintih kesakitan dan memandu treler ke hadapan untuk menanggalkan kepala lori yang melekat itu.

Katanya, kepala lori itu tertanggal selepas dia menekan minyak dengan kuat sebelum turun semula dan menghubungi pasukan penyelamat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Penolong Kanan Penguasa Bomba Wan Azlan Wan Abdul Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.54 malam dan bergegas ke lokasi.

“Seramai enam pegawai dan anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Ashraf Abdullah yang tiba di lokasi mendapati dua lelaki tersepit,” katanya.

Beliau berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi merenggangkan papan pemuka lori dan mangsa dikeluarkan dalam masa kurang 10 minit.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, mayat dihantar ke Hospital Jasin manakala kelindan yang parah dibawa ke Hospital Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:14 AM