Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu elemen ‘keserasian emosi’ di antara pemimpin politik dan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) diterapkan sebagai satu kaedah untuk mengukuhkan hubungan antara satu sama lain.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 3,000 PTD pada program Wacana Kepimpinan Perdana : Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTTD) bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Najib berkata, elemen berkenaan penting bagi mewujudkan kaedah dan saluran hubungan antara pemimpin serta komuniti PTD supaya ia lebih mesra dan erat antara satu sama lain.

Menurutnya, beliau percaya kaedah serta elemen hubungan sedemikian mengambil masa yang lama untuk dilakukan namun, ia masih boleh dilakukan.

“Saya masih ingat lagi ketika arwah ayah saya menjadi pemimpin, beliau (arwah) begitu rapat dengan PTD. Pada masa itu, arwah ayah saya juga mengenali setiap pegawai daerah di seluruh negara.

“Saya menganggap hubungan erat yang ditunjukkan itu adalah satu cerminan betapa erat hubungan antara pemimpin dan PTD,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, kerajaan turut meluluskan permohonan PTTD bagi membina sebuah rumah kelab PTD di Presint 1, Putrajaya, di sini.

Menurutnya, rumah kelab baru bakal dibina bagi menggantikan rumah kelab PTTD yang sudah usang berhampiran Tugu Negara di Kuala Lumpur.

“Pembinaan rumah kelab baru itu diharap dapat merangsangkan komuniti PTD untuk berkongsi impian dan cita-cita negara untuk mencapai negara maju pada masa depan.

“Selain kelulusan sebidang tanah di Presint 1, kerajaan juga akan menyediakan dana sewajarnya bagi pembinaan rumah kelab berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 8:51 AM