HADAPI makanan secara sederhana adalah amalan terpuji.
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Tiada kantung dipenuhkan oleh anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah seorang anak Adam itu makan dengan kadar beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang belakang di bawah). Jika tidak dapat dielakkan, jadikan sepertiga daripada kantung perutnya untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk pernafasan.” (Riwayat Tirmidzi)

Inilah cara makan disarankan oleh Rasulullah SAW. Namun berapa ramai dalam kalangan kita yang mengambil peduli? Cuba bayangkan selera kita di meja makan, betapa bernafsunya mulut menghadap menu hidangan. Bukanlah hendak mengata sesiapa, tetapi gaya inilah yang selalunya kita dapat perhatikan di mana-mana tempat.

Nafi’ ada membawa satu cerita bahawa Ibnu Umar iaitu seorang sahabat Rasulullah SAW tidak makan melainkan selepas dibawa seorang miskin untuk makan bersama-samanya.

“Lalu aku menjemput seorang lelaki untuk makan bersama Ibnu Umar. Lelaki terbabit makan dengan banyak. Kerenah dan tabiat makan lelaki itu diperhatikan oleh Ibnu Umar. Kemudian Ibnu Umar berkata sesuatu padaku: Wahai Nafi’, lain kali jangan kamu jemput lelaki itu lagi untuk makan bersamaku kerana aku mendengar baginda SAW bersabda: “Orang Mukmin makan dalam satu perut, sedang orang kafir makan dalam tujuh perut.” (Riwayat Bukhari)

Umat Islam dianjurkan makan dalam kadar sederhana saja, bukannya berlebih-lebihan. Kaedah ini bukan saja bertepatan dengan anjuran Rasulullah dan sahabat, malah dapat memelihara kesihatan diri dan mengekalkan kecergasan untuk beribadat. Menurut ulama, kekenyangan ada tujuh tahap, iaitu:

1. Mereka yang makan sekadar untuk membolehkan diri hidup dan menjalani kehidupan dengan baik serta dapat mengamalkan perintah Allah dengan sempurna.

2. Kategori orang yang menambahkan sedikit lagi bagi menambahkan kekuatan badan menjalani ibadat puasa. Ada juga yang berbuat demikian bagi menyempurnakan ibadat solat sambil berdiri. Tahap pertama dan kedua ini dihukumkan sebagai wajib.

3. Orang yang menambahkan lagi kadar makannya semata-mata berharap ada kekuatan fizikal dan mental untuk melakukan ibadat sunat dengan harapan apabila dia makan lebih sedikit tetapi tidak keterlaluan itu, insya-Allah akan mengupayakan diri mengerjakan puasa sunat dan ibadat malam.

4. Mereka yang menambahkan kadar makannya semata-mata untuk bekerja kuat mencari rezeki bagi diri dan ahli keluarganya. Jadi bagi tahap ketiga dan keempat dikategorikan sebagai mustahab (sunat atau dianjurkan).

5. Tahap dihukumkan sebagai harus iaitu orang menambah kadar makannya hingga memenuhi sepertiga kandungan isi perutnya. Tidak menjadi apa-apa kesan mudarat sama ada dari sudut kesihatan ataupun yang membabitkan hukum haram pada sisi syarak.

6. Mereka yang menambahkan kadar makannya hingga menjadikan berat badan meningkat dan akibatnya dia selalu keletihan, lalu suka tidur. Tahap sebegini dihukumkan makruh di sisi syarak.

7. Tahap paling dibimbangkan yang dikategorikan hukumnya haram. Golongan ini menambahkan kadar makan harian tanpa menghitung natijah buruk akibat tabiatnya itu hingga memudaratkan kesihatan.

Mari kita tinjau betapa hebat dan mujarabnya kaedah makan disarankan Rasulullah SAW. Sepertiga bahagian perut diisi dengan makanan. Sekiranya sepertiga bahagian perut tidak disi dengan makanan akan menyebabkan perut senak kerana mengandungi lebihan air dan angin.

Jika diisi lebih sepertiga makanan pula, kesannya perut menjadi sendat dan berat, lalu fizikal badan akan menjadi lemah dan kurang aktif untuk melakukan pekerjaan. Kemudian sepertiga bahagian perut diisi dengan air. Andainya kita kurang cakna untuk bahagian ini, perut akan mengalami penghidratan.

Ingat, badan kita amat memerlukan air secukupnya, tapi jika ia terlebih, timbullah gejala perut menjadi tegang dan kemungkinan besar fizikal perut berubah secara beransur-ansur menjadi buncit.

Baginda SAW juga menyarankan kita supaya mengisi sepertiga bahagian perut dengan pernafasan. Ini pun ada hikmah saintifiknya. Andai terlebih bahagian pernafasan iaitu angin di dalam perut, maka akibatnya kita selalu mengalami senak perut.

Sekiranya bahagian angin di dalam perut kekurangan, impaknya juga buruk iaitu kita berkemungkinan menghadapi gangguan pada sistem perkumuhan dan boleh mengundang gejala obesiti. Jadi tidakkah kita terfikir ketepatan tunjuk ajar daripada Rasulullah SAW itu?

Penulis ialah pensyarah

di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 8:53 AM