Kuala Lumpur: Beberapa persatuan kontraktor dari industri pembinaan merayu kerajaan untuk memanjangkan tempoh permit pekerja asing di bawah program 6P bagi membolehkan mereka terus bekerja di negara ini.

Ini berikutan pekerja asing yang berdaftar di bawah program 6P di seluruh negara selepas pelaksanaan pemutihan bermula Oktober 2011 akan dihantar pulang ke negara masing-masing sebelum Januari tahun depan.

Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) Matthew Tee berkata, pekerja asing yang terbabit dalam industri pembinaan kebanyakannya sudah terlatih selepas menimba pengalaman dan latihan daripada syarikat kontraktor dan penghantaran pulang mereka ke negara asal hanya akan menjejaskan seluruh operasi syarikat dan perjalanan projek pembinaan itu sendiri.

Beliau berkata, dianggarkan industri itu sudah mengalami kekurangan sekurang-kurangnya 100,000 pekerja di seluruh negara, terutama dalam sektor perumahan.

“Kira-kira 100,000 daripada 503,000 pekerja asing yang berdaftar di bawah program ini adalah dari industri pembinaan.

“Justeru, jika pekerja ini dihantar kembali ke negara masing-masing akan menyebabkan kekurangan pekerja dalam industri yang lebih kritikal.

“Jika golongan pekerja ini dikembalikan ke negara asal, kita perlu segera menggantikan mereka. Pada masa sama, kita masih akan membawa masuk lebih ramai pekerja asing, jadi adalah tidak masuk akal jika mereka dihantar pulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 8:46 AM