ANGGOTA polis mengawal ketat suspek dipercayai ahli Geng Mamak.
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my

Ipoh: Tahanan reman seorang lelaki berusia 50 tahun dipercayai anggota kanan Geng Mamak dan seorang wanita berusia 33 tahun dilanjutkan sehingga 19 Disember ini, bagi membantu polis menjalankan siasatan lanjut terutama cubaan menghidupkan kumpulan berbahaya itu.

Mereka direman tujuh hari sejak 7 Disember lalu selepas ditahan sehari sebelum itu di sekitar Greentown di sini, selepas dipercayai cuba mengaktifkan semula Geng Mamak.

Sumber berkata, penahanan lelaki itu dibuat kerana dia dipercayai mempunyai kaitan dengan seorang lelaki berusia 59 tahun yang ditembak mati polis di Ampang, Selangor pada 25 November lalu.

Untuk rekod, lelaki yang mati ditembak itu berasal dari Gerik dan mempunyai 24 rekod jenayah lampau.

Menurut sumber, Mahkamah Majistret Ipoh membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman kedua-dua suspek bagi membantu siasatan.

Kedua-dua suspek dibawa menaiki sebuah van ke Mahkamah Majistret Ipoh jam 9.40 pagi dengan dikawal ketat anggota polis yang lengkap bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:17 AM