Kajang: Tindakan polis yang curiga dengan sebuah kereta Mazda dinaiki tiga lelaki membongkar kegiatan mereka yang aktif memecah masuk rumah dan melarikan kereta di sekitar daerah ini.

Dalam kejadian jam 5.30 petang Selasa lalu, suspek berusia 35 hingga 40 tahun melalui kawasan Bukit Permai, di sini sebelum ditahan polis yang sedang membuat operasi cegah jenayah di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pemeriksaan ke atas nombor pendaftaran kereta itu palsu dan kereta itu pernah dilaporkan hilang.

Menurutnya, polis kemudian membawa suspek ke rumah mereka yang terletak berhampiran sebelum menahan seorang wanita berusia 38 tahun yang juga isteri salah seorang suspek.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis turut merampas kereta Honda Accord yang turut dicuri dan digunakan untuk kegiatan samun dan pecah rumah.

“Malah, pelbagai barangan berharga seperti komputer riba, televisyen dan iPad turut ditemui di dalam rumah itu,” katanya.

Ab Rashid berkata, siasatan lanjut mendapati semua mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah, samun dan pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:23 AM