BANYAK tempat menarik di Taman Tema i-City. Gambar kecil, Submarine Studio beri pengalaman unik di dalam kapal selam.
Oleh Nur Saliawati Salberi
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Shah Alam: Pemilihan i-City sebagai venue Gempak Santai Harian Metro (HM) memang lokasi strategik kerana bukan saja memberi kesempatan kepada orang ramai beriadah di taman tema WaterWorld@i-City, malah berpeluang menjengah ke beberapa tempat tarikan di taman tema berkenaan.

Program yang akan membuka tirainya esok, nyata menjanjikan pengalaman menarik buat pembaca setia HM kerana bukan saja mendapat tiket percuma untuk masuk ke taman tema WaterWorld@i-City, malah bakal dihiburkan oleh penyanyi terkenal tanah air pada Konsert Gempak Santai HM yang akan diadakan pada malamnya.

Kunjungan ke i-City juga tidak akan lengkap jika pengunjung tidak mengambil kesempatan masuk ke Submarine Studio dan Typhoon dengan dua tempat berkenaan akan menjanjikan pengalaman menarik serta dapat merasai sendiri suasana di lautan dalam serta taufan Typhoon.

Bagi pengunjung Nor Zakiah Che Don, 35, pengalaman kali pertama berkunjung ke i-City nyata memberikan kepuasan buat diri dan anaknya kerana dapat melakukan pelbagai aktiviti tanpa perlu ke tempat lain.

“Bayaran yang dikenakan untuk masuk ke taman tema ini berpatutan selain ia ada pelbagai aktiviti menarik untuk dilakukan bersama keluarga.

“Malah, saya dan suami tidak perlu bimbang untuk ke tempat lain kerana di sini sudah cukup menyeronokkan.

“Kesempatan masuk ke Submarine Studio turut memberi pengalaman unik kerana merasai berada di dalam kapal selam yang besar serta meneroka di lautan dalam yang mempunyai tinggalan khazanah yang lama,” katanya ketika ditemui, semalam.

Pengunjung S Shalini, 33, pula mengakui i-City adalah taman tema yang memenuhi citarasa pelbagai peringkat umur baik kanak-kanak mahupun dewasa.

“Tidak rugi datang ke sini, ini kali ke tiga saya bersama keluarga datang menghabiskan masa cuti yang mana kami akan menghabiskan masa sehingga malam kerana semua sudah cukup di sini.

“Banyak tempat menarik untuk diterokai dan Harian Metro sangat bijak kerana memilih i-City untuk programnya kerana mampu menarik perhatian pembaca setianya dengan kepelbagaian hiburan di sini,” katanya.

Menurutnya, dia dan keluarga tidak sabar untuk tunggu Program Gempak Santai HM kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik disediakan, termasuk pencarian harta karun, permainan tradisional serta Giant Board Game.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 8:49 AM