PENGUNJUNG berpeluang melihat dan merakam gambar bersama lukisan yang menarik.
Oleh Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my

Shah Alam: Program Gempak Santai Harian Metro (HM) dengan kerjasama i-City yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini dijangka mendapat sambutan hangat daripada pengunjung terutama pembaca akhbar ini.

Justeru, selaku tuan rumah, i-City sudah bersedia untuk menerima ribuan pengunjung yang akan membanjiri lokasi riadah itu terutama taman tema WaterWorld@ i-City.

Pengurus Maklumat i-City Tang Soke Cheng berkata, berdasarkan sambutan hangat dan kejayaan Gempak Santai HM di i-City pada 2012, pihaknya menjangkakan keadaan sama berulang pada hujung minggu ini.

Menurutnya, sempena Gempak Santai HM, i-City menawarkan pakej promosi kepada pembaca HM dengan harga RM49 dan i-card percuma bernilai RM10.

Malah, katanya, pengunjung yang membeli dua tiket berharga RM49 akan menerima sekeping tiket percuma untuk program dua hari itu.

“Dengan harga tiket RM49, pengunjung ditawarkan empat pakej utama iaitu Snow Walk berharga RM35 dan Space Mission (RM15); Red Carpet (RM35) dan Typhoon (RM15); Adventure Studio (RM15), Typhoon (RM15) dan House of Horror (RM15) serta Water World (RM35) dan Trick Art Museum (RM15).

“Selain itu, untuk pakej Typhoon (RM15), Submarine (RM15) dan Adventure Studio (RM15) pengunjung hanya perlu membayar RM30 saja,” katanya.

15,000 tiket masuk secara percuma ke taman tema WaterWorld@ i-City disediakan kepada pembaca setia HM sempena program itu bagi menghargai sokongan mereka selain memberi peluang menikmati musim cuti persekolahan bersama keluarga.

Pembaca perlu mengumpul 20 keratan kepala akhbar Harian Metro serta Metro Ahad bermula 24 November lalu untuk ditukarkan dengan dua tiket.

Penebusan tiket percuma itu boleh dilakukan di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Bangsar hingga Jumaat ini.

Sementara itu, Soke Cheng berkata, selain tarikan berkenaan, i-City yang menjadi destinasi pilihan keluarga untuk beriadah juga mempunyai taman permainan seperti ‘Itsy Bitsy’; ‘Jungle Adventure’; ‘Fun Drive’ serta tarikan terbaru seperti ‘Dancing Water’ dan ‘Mist Fountain’ yang terletak di FunWorld i-City.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 9:07 AM