PELAJAR Malaysia tidak melepaskan peluang bergambar bersama Najib.

Seoul: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di sini semalam bagi lawatan rasmi tiga hari di Korea Selatan untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, pesawat khas membawa Perdana Menteri mendarat di Pangkalan Udara Seoul dan ketibaan beliau disambut Ketua Pengarah Protokol Korea Selatan Lee Yong Soo dan Naib Menteri Hal Ehwal Luar Pertama, Choe Tae Yong.

Turut hadir di pangkalan udara itu untuk menyambut Najib dan Rosmah ialah Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, Duta Besar Malaysia di Korea Selatan Datuk Rohana Ramli dan pegawai kanan kerajaan.

Perdana Menteri kemudiannya diberikan sambutan rasmi di pangkalan udara itu.

Lawatan ini adalah atas undangan Presiden Park Geun-Hye.

Najib dijadual mengadakan mesyuarat dua hala delegasi dengan Park untuk memacu hala tuju dan masa depan hubungan dua hala serta bertukar-tukar pandangan tentang isu serantau dan antarabangsa kepentingan bersama.

Perdana Menteri juga akan bertukar-tukar pandangan dengan rakan sejawatannya berhubung usaha menggalakkan keamanan dan kestabilan dalam konteks Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) serta kerjasama ASEAN-Korea Selatan terutamanya apabila Malaysia mengambil alih peranan sebagai pengerusi perkumpulan itu tahun depan.

Ini adalah lawatan kedua Najib ke Korea Selatan sebagai Perdana Menteri, Lawatan pertama beliau pada April 2011. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 7:39 AM