Yahaya (tengah) bersama peserta Kursus Pengurusan Projek di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, semalam.

Seremban: Sekurang-kurangnya 5,000 kontraktor Kelas G1 dan G2 dijangka mengikuti pelbagai kursus kemahiran mulai tahun depan dalam usaha jangka panjang untuk mengelak kebergantungan mereka terhadap projek kerajaan.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU) Kementerian Kerja Raya Datuk Yahaya Hasan berkata, pihaknya menggalakkan kontraktor Bumiputera mengambil bahagian dalam kursus kemahiran tinggi.

Beliau berkata, melalui peningkatan program kemahiran atau pengkhususan dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta itu diharapkan kontraktor akan dapat mengembangkan perniagaan mereka.

“Kemahiran ini penting bagi menjamin masa depan kontraktor Bumiputera untuk bersaing pada masa depan.

“Kami mahu kontraktor Bumiputera berdaya saing, diyakini, berkebolehan dan hasil kerja mereka berkualiti,” katanya selepas merasmikan Kursus Pengurusan Projek anjuran BPKU Persatuan Kontraktor Kelas F Malaysia (daerah Seremban) di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, di sini, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, setakat ini BPKU sudah melatih seramai 3,900 kontraktor Bumiputera Kelas G1 dan G2 dalam bidang pengubahsuaian bangunan (B28).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 7:23 AM