KANAK-KANAK menyertai pertandingan mewarna dengan pasir di gerai Harian Metro dan Metro Ahad.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Nur Saliawati Salberi
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Shah Alam: Walaupun cuaca hujan pada sebelah pagi, ia tidak menghalang 10,000 pembaca setia bersama memeriahkan suasana Karnival Harian Metro (HM) Padat dengan memenuhi tapak karnival di Bazarena, Stadium Malawati di sini, semalam.

Seawal jam 10 pagi, pengunjung merangkumi pelbagai lapisan usia sudah membanjiri gerai yang disediakan di pekarangan tapak karnival selain peserta untuk acara gusti lengan dan autoshow.

Pertandingan juara karaoke turut menggamatkan lagi suasana Karnival HM Padat apabila peserta pertandingan masing-masing mempamerkan aksi dan vokal mereka untuk merebut peluang memenangi hadiah utama wang tunai berjumlah RM800.

Pembaca setia HM, Muhamad Syawal Safuan, 35, berkata, sebaik mengetahui HM menganjurkan karnival itu, dia sekeluarga sememangnya tidak sabar meluangkan masa cuti mereka untuk mengunjunginya.

“Saya dan isteri sudah merancang lebih awal untuk ke karnival ini kerana program anjuran HM tidak pernah mengecewakan. Kami hari ini (semalam) melihat pelbagai kereta menarik dan turut berpeluang mengunjungi gerai Gen Y membeli barangan serta pelbagai kek.

“Selain itu, saya dapat membeli pelbagai barangan seperti aksesori telefon dengan harga murah berbanding tempat lain,” katanya ketika ditemui di tapak karnival itu.

Bagi Hajar Zakaria, 18, peluang mengunjungi Karnival HM Padat dianggap berbaloi kerana dapat berjimat berikutan pelbagai tawaran harga istimewa diberikan kepada pengunjung.

“Bagaikan tidak percaya apabila mendengar promosi harga hebat daripada Avon kepada pengunjung karnival selain turut disediakan solekan percuma.

“Dengan hanya berbelanja RM50 ke atas, saya diberikan khidmat solekan secara percuma selain dapat merakamkan gambar,” katanya yang menetap di Ampang.

Pada malam akhir karnival itu, Konsert HM Padat buat kali pertamanya menampilkan penyanyi dangdut tanah air Amelina yang akan membuat persembahan pada malam ini bersama artis terkenal tanah air yang lain seperti Ajai, Hyper Act, Nidji, Asmidar, Hazama, Fiq Mentor, Aweera, Ewal dan Nuha AF2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:08 AM