KEADAAN kedua-dua kereta yang remuk selepas bertembung.
Oleh Syazwan Msar
am@hmetro.com.my

Kuala Lipis: Dua rakan karib yang baru selesai membeli barangan keperluan di bandar Raub maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka bertembung kereta Proton Wira yang datang dari arah bertentangan di Kilometer 14, Jalan Kuala Lipis-Benta, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Benta, dekat sini, kelmarin.

Kejadian jam 8.45 malam itu menyebabkan pemandu, Nadia Farahidayu Yusoff dan penumpangnya, Nur Syafinaz Mohamad Affader, masing-masing berusia 17 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Jalan Cheneras, di sini, tinggal berjiran dan mereka dalam perjalanan dari Raub ke bandar ini sebelum singgah di R&R Benta untuk makan malam.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, selepas makan malam remaja terbabit yang baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meneruskan perjalanan untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Namun, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira yang dipandu Noramirudin Ariffin, 29, dari FELDA Kemas, Triang, Bera, yang datang dari arah Kuala Lipis menuju ke Benta gagal memotong kenderaan di depan sebelum bertembung dengan mangsa.

“Akibatnya, kedua-dua mangsa tersepit di dalam kereta sebelum orang ramai yang menyaksikan kejadian menghubungi pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Nadia Farahidayu dan Nur Syafinaz disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian sebelum mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Lipis, di sini, untuk dibedah siasat.

“Pemandu dan penumpang kereta Proton Wira, Nur Syamimi Amira Mohd Shukri, 16, parah dan mereka dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, untuk rawatan lanjut. Setakat ini, keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya.

Abdul Razak berkata, siasatan awal mendapati Noramirudin gagal memotong kenderaan di depan menyebabkannya bertembung dengan kereta lain dari arah bertentangan.

“Ketika kejadian kereta dipandu Noramirudin dinaiki empat penumpang lain, namun hanya Nur Syamimi Amira dan pemandu saja parah manakala selebihnya cedera ringan,” katanya.

Menurutnya, siasatan di lokasi kejadian mendapati cuaca ketika itu hujan renyai manakala jalan sedikit licin dan lokasi kemalangan mempunyai lampu jalan.

“Kita mengambil keterangan daripada saksi dan mangsa yang terselamat untuk melengkapkan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 9:12 AM