Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my

Putrajaya: Kerajaan Negeri Sembilan memfailkan notis di Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Enakmen Jenayah Syariah Undang-undang Negeri Sembilan 1992 yang melarang lelaki berpakaian wanita tidak mengikut Perlembagaan.

Notis itu difailkan melalui wakil Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini, pada jam 4.30 petang, semalam.

Pihak media hanya dimaklumkan bahawa kerajaan negeri akan membangkitkan tujuh persoalan undang-undang dalam notis kebenaran itu.

Kerajaan negeri mengemukakan notis kebenaran merayu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Seksyen 66 enakmen itu adalah tidak mengikut perlembagaan, tidak sah dan terbatal.

Pada 7 November lalu, Mahkamah Rayuan, memutuskan bahawa Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan yang melarang lelaki berpakaian seperti seorang wanita adalah melanggar Perlembagaan.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus membuat keputusan itu selepas mendapati Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 tidak mengikut Perlembagaan kerana mendiskriminasi lelaki Islam yang mengalami keadaan perubatan yang dikenali sebagai Gangguan Identiti Jantina (GID).

Tiga lelaki iaitu Muhamad Juzajli Mohd Khamis, 25, Shukor Jani, 26, dan Wan Fairol Wan Ismail, 28, yang sebelum ini mengemukakan permohonan bagi mencabar Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 yang menghalang mereka berpakaian seperti wanita.

Ketiga-tiga perayu menamakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai penguat kuasa syariah, ketua pendakwaan dan kerajaan negeri sebagai responden.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 8:55 AM