Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Tanpa mengira beriman atau kufur, setiap manusia dikurniakan nikmat. Begitulah sifat ar-Rahman Allah SWT. Namun, berapa ramai manusia yang berfikir mengenainya?

Bagi umat Islam, tiada nikmat yang lebih besar selain nikmat hidayah daripada Allah untuk menerima Islam dan mempraktikkan ajarannya dalam kehidupan seharian.

Firman-Nya bermaksud: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Maidah, ayat 3)

Sebagai Muslim atau Muslimah, kita wajib menghargai dan memanfaatkan setiap nikmat dikurniakan Allah. Jangan sampai kita lupa diri dan terus hanyut kerana terlalu banyak nikmat diperoleh. Ingatlah, semuanya harus digunakan demi mencapai reda-Nya.

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” (Surah al-An’am, ayat 32).

Menerusi ayat itu Allah melontarkan satu persoalan kepada kita agar sentiasa sedar bahawa kehidupan akhirat adalah bersifat kekal, sedang dunia hanyalah sementara.

Kehidupan akhirat adalah tempat kita menerima ganjaran dan balasan atas setiap perbuatan di dunia. Untuk meraih kebahagiaan di sana, usaha perlu digandakan ketika masih di dunia.

Antara nikmat kurniaan Allah, dua yang kebanyakan daripada kita gagal untuk memanfaatkannya dengan baik, sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya: “Dua nikmat yang membuatkan kebanyakan manusia tertipu iaitu nikmat sihat dan waktu lapang.” (Hadis riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis ini dapat difahami bahawa kebanyakan manusia tidak memanfaatkan sepenuhnya kedua-dua nikmat berkenaan dalam kehidupan. Ketika masih sihat dan mempunyai masa lapang, kita gagal memperbanyakkan amalan.

Malah, pada kebiasaanya kita hanya tergerak untuk menggandakan amalan ketika usia mulai lanjut. Berapa ramai dalam kalangan kita yang baru belajar ke masjid ketika usia sudah tua?

Meskipun keadaan ini wajar diberi pujian, namun amalan baik ini perlu dimulakan ketika masih muda dan sihat. Ini kerana pada waktu tua macam-macam penyakit pula datang dan ia tentu sekali mengganggu tumpuan untuk beribadat.

Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa remaja yang membesar dengan memperbanyakkan ibadat kepada Allah akan termasuk dalam salah satu daripada tujuh golongan yang bakal menerima naungan Allah di akhirat kelak.

Begitu juga dengan waktu lapang, perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh setiap daripada kita. Ada dalam kalangan kita yang hidupnya sentiasa sibuk dengan urusan dunia sehingga mengabaikan tuntutan agama. Bukankah hal seperti itu merugikan?

Malah, sekiranya kita melengahkan urusan agama seperti solat fardu tanpa sebab dibenarkan, ia menjadi tanda bahawa kita tertipu dengan kehidupan dunia yang bersifat sementara.

Tidak kurang juga yang mempunyai banyak waktu lapang, tetapi memilih untuk mengisinya dengan perbuatan sia-sia. Malah, lebih buruk dan mendukacitakan apabila waktu lapang yang ada itu digunakan untuk melakukan maksiat.

Peringatan Rasulullah SAW berkaitan nikmat sihat dan waktu lapang turut dinyatakan dalam satu hadis: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara; masa mudamu sebelum kamu tua, masa sihatmu sebelum kamu sakit, masa kayamu sebelum kamu miskin, masa lapangmu sebelum kamu sibuk dan masa hidupmu sebelum kamu mati.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Betapa Allah Maha Berkuasa melimpahkan nikmat-Nya kepada kita tatkala kita bersyukur kepadaNya. Bagaimana cara mensyukuri nikmat Allah?

Antaranya ialah memanfaatkan nikmat itu dengan perkara yang dapat mendekatkan diri kita kepada-Nya. Nikmat kesihatan dan waktu lapang perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan melakukan amalan terpuji, sama ada terhadap Tuhan mahupun sesama manusia dan makhluk lain termasuklah alam sekitar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang mensyukuri nikmat. Di samping itu, bermohonlah agar Allah terus menambahkan nikmat-Nya kepada kita.

Penulis ialah pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 8:49 AM